BATU GAJAH, 25 April : Sejumlah 1.1 juta bantuan bakul makanan diagihkan kepada ketua isi rumah yang berjaya memberi manfaat kepada hampir 4 juta rakyat di seluruh negara.

Inisiatif melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membantu mereka yang terkesan dengan COVID-19 itu melibatkan peruntukan RM110 juta.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, selain daripada bantuan, kementerian turut memberi khidmat nasihat berterusan.

“Selain daripada itu, wanita Perikatan Nasional juga sedang giat terus menyantuni rakyat di seluruh Malaysia yang terjejas.

“Di bawah kementerian saya sendiri pun kita lihat banyak program-program bantuan yang telah disalurkan kepada rakyat bukan sahaja bantuan dari segi kewangan yang diberikan tetapi juga dari segi motivasi, dari segi psiko sosial dan sebagainya yang terus kerap diadakan sepanjang masa,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Dapur Kita Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah di Kapal Korek TT5 di sini, hari ini.

Menurutnya, selain bantuan daripada kerajaan, bantuan turut disalurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada majlis itu, lebih 200 golongan B40 di dalam DUN Tualang Sekah menerima sumbangan barangan dapur.