IPOH, 10 Jun – Seramai 100 penerima vaksin dos kedua COVID-19 menjadi kumpulan pertama yang mendapat perkhidmatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Stadium Indera Mulia dekat sini, hari ini.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata dengan adanya PPV pandu lalu itu ianya akan dapat memaksimumkan jumlah penerima vaksin di Stadium Indera Mulia kepada 2,500 penerima sehari berbanding 1,900 sebelumnya.

“Kemampuan pasukan mengendalikan kaedah baru pemberian vaksin melalui pandu lalu akan diuji secara berfasa. Ketika ini, perkhidmatan pandu lalu dihadkan untuk penerima vaksin dos ke-2 sahaja kerana ianya melibatkan proses yang lebih ringkas.

“Seramai 100 penerima vaksin dos kedua terawal akan menjadi kumpulan pertama mendapat perkhidmatan pandu lalu pada hari ini.

“Jumlah itu dijangka bertambah dari hari ke hari mengikut peningkatan kemahiran pasukan mengendalikan urusan ini,” katanya dalam sidang selepas melawat PPV pandu lalu di Stadium Indera Mulia dekat sini, pada Khamis.

Dalam pada itu beliau berkata orang ramai yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 masing-masing secara pandu lalu di PPV itu memberi reaksi positif terhadap inisiatif kerajaan negeri itu dalam mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat.

Saarani berkata PPV pandu lalu itu mempunyai dua laluan selain ditempatkan beberapa check point atau tempat pemeriksaan yang sama seperti mana proses vaksinasi di dalam PPV Stadium Indera Mulia.

Tambah beliau ketika ini kerajaan negeri akan mengkaji keperluan untuk dilaksanakan pemberian dos pertama vaksin COVID-19 di PPV pandu lalu di lokasi sama.

Ini kerana jelas Saarani proses untuk mendapatkan dos pertama vaksin tersebut memakan masa yang agak lama berbanding dos kedua kerana perlu menjalani beberapa proses saringan terlebih dahulu.

Katanya lagi kerajaan negeri juga sedang menilai kesesuaian lokasi PPV Pandu Lalu di Meru Raya seperti mana yang diumumkan sebelum ini.

“Kita sedang mengkaji perkara itu kerana kita tidak mahu PPV pandu lalu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Jadi ketika ini kita sedang mencari lokasi sesuai dan selesa bagi orang ramai untuk diadakan PPV berkenaan (di Meru Raya) selain ia mampu dilengkapi dengan beberapa tempat pemeriksaan sama,” katanya.

Selain itu beliau menjelaskan kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa lokasi di luar Daerah Kinta bagi mewujudkan inisiatif yang sama untuk keselesaan penerima vaksin di seluruh negeri.