Oleh: Aida Aziz

KISAH mengenai khazanah ratusan tahun di Terowong Bukit Berapit bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan lokasi terowong ini juga begitu dekat dengan pengguna Lebuh Raya Utara Selatan dan jalan negeri menuju ke Padang Rengas.

Menurut cerita orang dulu-dulu, asal nama tempat ini diambil kerana laluan kawasan itu diapit oleh dua buah bukit iaitu Banjaran Gunung Hijau dan Gunung Bubu, lalu kekal nama Bukit Berapit sehingga kini.

Tentu sekali ramai yang tertanya-tanya mengapa Terowong Bukit Berapit terbiar dan tidak dibangunkan sebagai satu lagi produk pelancongan di Perak, memandangkan ianya sarat dengan sejarah selain kisah mistik yang diceritakan dari mulut ke mulut.

Untuk mengetahui dengan lebih mendalam keunikan satu-satunya terowong seumpama itu di negara ini, Suara Perak menemubual Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee yang tidak pernah jemu memperjuangkan isu tersebut.

Lubang gelap sarat dengan kisah sejarah

Nor Hisham berkata, suatu ketika dahulu terowong di kawasan itu dipanggil lubang gelap kerana masih ramai yang tidak tahu istilah sebenar, di samping keadaan di dalamnya yang sangat gelap.

“Semasa pembinaan landasan kereta api antara Taiping dan Kuala Kangsar dilakukan, masalah timbul iaitu kesukaran membuat laluan di kawasan sempit berdekatan Bukit Berapit.

“Pada tahun 1897, tinjauan dilakukan di dua laluan yang memerlukan pembinaan tiga buah terowong atau lebih dikenali sebagai lubang gelap,” katanya.

Beliau berkata, lubang gelap Bukit Berapit dibina pada tahun 1898 dan dibuka pada Julai 1903.

Menurutnya, sebelum lubang gelap itu siap, penumpang keretapi kebiasaannya akan dibawa dengan ghari (kereta kuda) dari Taiping ke Padang Rengas.

Katanya lagi, dengan siapnya terowong ini, lengkaplah laluan kereta api Tanah Melayu (kini Malaysia) dari Prai ke Ipoh.

Pemandangan indah persis latar filem Harry Potter

Ujar pencinta sejarah itu lagi, pemandangan berdekatan terowong ini juga begitu mempesonakan ditambah dengan kewujudan jambatan besi yang suasananya seperti satu babak dalam filem popular “Harry Potter”.

Jika Thailand boleh memulihara khazanah Landasan Kereta Api Maut sebagai tarikan pelancong, tidak mustahil Terowong Bukit Berapit dipromosikan secara meluas di Perak khususnya dan Malaysia amnya.

“Senibina jambatan dan terowong ini bercirikan seni binaan British, dan pemandangannya sangat cantik macam dalam filem Harry Potter, dengan kabus dan bukit-bukau,” katanya.

Terbiar dan diancam kemusnahan

Tambahnya lagi, sejak terowong berkembar landasan kereta api elektrik Ipoh-Padang Besar yang dibina pada tahun 2008 dan siap sekitar tahun 2012, terowong ini tidak lagi digunakan.

Bagaimanapun pelbagai usaha dilakukan untuk memperkenalkan dan menjadikannya sebagai destinasi wajib untuk pengunjung, antaranya program Jom Explore Bukit Berapit Black Hole.

“Kami mahu kawasan ini dibangunkan dan tidak terbiar seperti sekarang, ada perbincangan daripada pihak kami dengan Exco namun terbantut disebabkan hak milik kawasan ini di bawah Perbadanan Aset Keretapi.

“Harapan saya supaya terowong ini dapat dikekalkan dan ia ada nilai warisan yang sangat unik, jika tiada terowong ini dahulu maka tidak akan ada jalan perhubungan kereta api dari utara sampai selatan,” katanya.

Angkat sebagai lokasi pelancongan

Sementara itu Penaung Persatuan Pembangunan Pelancongan Kuala Kangsar Siti Norlizawati Narawi berkongsi pendapat yang sama iaitu mahu melihat kawasan ini berkembang sebagai lokasi pelancongan.

“Kawasan ini perlukan perhatian daripada pihak berwajib kerana memang ada pengunjung yang datang namun keadaan di sini agak berbahaya kerana ada aktiviti pecah batu dan terbiar.

“Sebelum wabak COVID-19, ramai yang berminat dengan pakej yang kami tawarkan, sehingga kini memang ada kekangan untuk indahkan balik tempat ini kerana kita pun tidak tahu siapa pemilik sebenar tanah ini dan adakah mereka benarkan aktiviti pelancongan dilakukan.

Kata Siti Norlizawati lagi terowong di sini juga pernah mendapat jolokan “tiga hari empat malam” untuk menggambarkan perjalanan kereta api dari Taiping ke Ipoh yang jauh.

“Gambaran untuk nyatakan jauhnya perjalanan Taiping ke Ipoh kerana sebelum masuk empat buah terowong terang dan bila masuk terowong gelap macam malam,” katanya.