GERIK, 22 JUN : Sebanyak 11 individu dikompaun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), menjadikan 104 kes keseluruhannya.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata setiap individu terbabit dikompaun sehingga RM1,500 mengikut Peraturan 16 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan daripada sejumlah itu, 11 individu belum menjelaskan bayaran kompaun sehingga hari ini.

“Kita harap selepas ini tidak ada lagi individu tidak mematuhi SOP dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19 ini,” katanya selepas Operasi Pematuhan SOP PKP (Sektor Kilang dan Pembuatan) oleh Pasukan Pemantau Bersepadu Berpusat Perbagai Agensi Daerah Gerik hari ini.

Operasi yang dilancarkan oleh Pegawai Daerah Hulu Perak, Mior Shahibul Fadilah Zainuddin itu, turut disertai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam IPD Gerik, Inspektor R Vinoth dan Pegawai Majlis Keselamatan Negara Daerah Hulu Perak, Nors’ariszah Habibul Rahman.

Zulkifli berkata, terdapat kira-kira 10 kilang di sekitar Gerik, bagaimanapun operasi hari ini hanya membabitkan masing-masing kilang kertas dan kilang papan, kerana hampir semua kilang lain tidak beroperasi sepanjang PKP 3.0 ini. Tiada kompaun dikeluarkan. – BERITA HARIAN