PETALING JAYA, 2 MAC: Seramai 11 lelaki berusia 14 hingga 20 tahun diarahkan menunaikan solat Maghrib berjemaah dan mengikuti tazkirah selepas ditahan polis atas kesalahan trafik di sekitar Jalan Kampung Liku ke Kampung Gobek, Tanah Merah, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Zainuddin Md Yusuf berkata, ketika tangkapan berlaku kebetulan masuk waktu Maghrib dan kerana itulah beliau meminta semua yang ditahan menunaikan solat terlebih dahulu.

“Mereka diimamkan oleh seorang lelaki dalam kalangan mereka sendiri manakala tazkirah Maghrib disampaikan oleh anggota kami,” kata Zainuddin dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, menerusi operasi dijalankan petang semalam, anggotanya mengeluarkan 30 saman membabitkan pelbagai kesalahan dan jumlah yang tertinggi adalah kesalahan tidak memakai topi keledar, manakala sembilan motosikal disita.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987. – FMT