IPOH, 4 Mei – Setakat ini seramai 11 pengunjung bazar Ramadan di seluruh Perak dikenakan kompaun bernilai RM2,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kompaun itu dikeluarkan membabitkan kawasan di Manjung, Hilir Perak serta Kampar.

Menurutnya sembilan kompaun dikenakan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka manakala dua lagi gagal mengimbas kod QR MySejahtera atau tidak mencatatkan nama di laluan masuk bazar.

“Setakat ini di pasar Ramadan ini kita telah mengeluarkan 11 kompaun ke atas pengunjung di bazar Ramadan di seluruh negeri Perak. Dan yang paling banyak kita kompaun adalah mereka yang tidak pakai pelitup muka.

“Kita kompaun mereka yang tidak pakai pelitup muka dan ada juga yang tidak imbas ataupun tidak mencatatkan nama masa masuk ke dalam bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemantauan SOP di Bazar Ramadan perkarangan Stadium Perak di sini pada Selasa.

Sementara itu Mior Faridalathrash berkata sepanjang tempoh PKPP yang dilaksanakan di Perak sejak 19 Mac, sehingga semalam sebanyak 155 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP.

Selain itu katanya lagi kadar pematuhan SOP PKPP di Perak berada pada tahap 96 peratus.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran SOP boleh menghubungi pihak polis supaya tindakan lanjut boleh diambil,” ujar beliau.