KUALA LUMPUR, 19 JAN : Seramai 118 pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur disahkan positif COVID-19, hari ini.

Memetik laporan The Star, Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt berkata, daripada jumlah tersebut, 31 pekerja melibatkan bahagian sayur, manakala 87 lagi di bahagian ikan.

“Kami melantik makmal swasta untuk menjalankan RT-PCR (ujian calitan COVID-19) kepada para pekerja dan keputusan telah dikongsi dengan tiga persatuan di sini.

“Pekerja bahagian buah-buahan pula menjalani ujian semalam (Isnin) dan keputusan dijangka diperolehi pada Khamis ini,” katanya memetik laporan tersebut.

Dalam perkembangan sama, bahagian penjualan ikan di pasar itu kini ditutup sementara waktu sejak Isnin untuk proses nyah kuman dan akan kembali beroperasi pada 22 Januari ini.

Jelas Wong lagi, satu mesyuarat melibatkan persatuan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diadakan pada Rabu.

Mesyuarat itu bagi memutuskan sama ada seluruh Pasar Borong berkenaan perlu ditutup, atau sebaliknya.

“Susulan daripada itu, kami telah memaklumkan kepada ahli persatuan kami bahawa operasi akan ditutup pada Khamis.

“Ini bagi membolehkan mereka menguruskan bekalan sebaiknya.

“Melihat kepada keadaan tersebut, bahagian sayur-sayuran dijangka ditutup untuk beberapa hari bagi tujuan proses nyah kuman. Bagaimanapun, ia tidak ditutup sepenuh,” jelasnya. – AWANI