BUKIT GANTANG, 5 JULAI : Masalah lalat dan bau busuk berpunca daripada najis ayam dan itik ladang ternakan di Trong di sini sudah berlarutan lebih 20 tahun.

Ia melibatkan Kampung Su­ngai Limau, Kampung Sungai Bemban, Kampung Toh Johan, Kampung Batu 10 dan Kampung Batu 11 di sini.

Pencemaran berlaku disebabkan pengusaha ladang ternakan membuang najis ternakan ke sungai dan melambakkannya di ladang kelapa sawit, sekali gus mengundang kehadiran lalat sehingga menjejaskan rutin harian penduduk.

Ahli Jawatankuasa Pemba­ngunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Sungai Limau, Batu 10, Sabri Ramli berkata, penduduk tidak sudah tidak tahan dengan keadaan itu dan meminta ia diselesaikan.

Katanya, setiap kali perjum­paan mahu diadakan, pengusaha ternakan hanya menghantar wakil sahaja dan kemudian menyelesaikannya namun masalah itu berulang semula.

“Apabila saya buat aduan pada agensi kerajaan terlibat, mereka datang periksa dan kalau salah mereka kompaun pengusaha, senyap sekejap masalah ini selesai tapi kemudiannya ulang balik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pesara polis, Mohamad Yusof Din, 68, berkata, berikutan kehadiran lalat yang terlalu ba­nyak, dia pernah makan di dalam kelambu untuk mengelak dihurung lalat.

Menurutnya, rumahnya antara yang teruk menghadapi masalah lalat kerana berdekatan sungai.

“Air najis haiwan ternakan dibuang dekat anak sungai belakang rumah saya dan bila hujan airnya yang berwarna keruh mengalir dan berbau busuk,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga sudah lama tidak makan berhidang kerana jika makanan dihidangkan ia akan dihurung lalat.

“Makan berhidang tak boleh langsung, kalau buat juga penuh lalat dalam lauk sampai tak lalu nak makan.

“Malah saya juga pernah berdepan keadaan memalukan semasa perkahwinan anak saya apabila tetamu asyik bertanya mengenai bau busuk yang mereka hidu selain lalat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Nurul Hidayah, Kuala Terong, Jainudin Hamzah di Kampung Sungai Bemban berkata, masalah bau busuk dihidu paling kuat apabila hujan dan awal pagi antara pukul 5 hingga 7 pagi.

“Kami sudah tak sanggup menghidu bau busuk dan lalat hingga terpaksa memasang pe­rangkap lalat iaitu pelekat lalat semasa makan,” katanya. – UTUSAN