IPOH, 17 Sept – Hampir 200 pekerja pembersihan dari sebuah hospital awam di Tanjung Rambutan dekat sini menuntut diberikan elaun khas COVID-19 setimpal dengan bebanan kerja yang ditanggung ketika pandemik.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung M. Sarasvathy berkata pihaknya telah menghantar beberapa surat tuntutan kepada Edgenta UEMS Sdn. Bhd. (UEMS) selaku syarikat pengendali berhubung perkara itu sejak Ogos.

Walau bagaimanapun Sarasvathy mendakwa sehingga kini pihaknya masih tidak menerima sebarang maklum balas daripada UEMS.

“Walaupun kesatuan telah menghantar aduan kepada UEMS beberapa kali iaitu pada 9, 16 dan 25 Ogos tetapi, UEMS masih enggan atau seolah-olah tidak mahu menyelesaikan masalah ini.

“Seperti doktor dan jururawat, mereka juga adalah petugas barisan hadapan di hospital. Tiada bayaran khas diterima mereka dan ditambah dengan pelbagai bebanan kerja.

“Jika sebelum ini seorang pekerja pembersihan akan ditempatkan di satu wad sahaja namun kini ada antara mereka yang ditempatkan sehingga tiga ke empat wad,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman bersama-sama 80 pekerja pembersihan Hospital Bahagia Ulu Kinta Tanjung Rambutan di sini, pada Jumaat.

Dalam perhimpunan sekitar 20 minit itu, mereka yang terbabit memegang plakad dan kain rentang memaparkan ‘akibat COVID tambah kerja’, ‘elaun COVID-19 untuk cleaners’, ‘Edgenta UEMS jangan abai kebajikan pekerja’ dan sebagainya.

Selain elaun khas COVID-19, Sarasvathy memberitahu mereka turut menuntut 10 perkara lain termasuk cuti umum 15 hari, faedah perubatan RM1,000, dan pemberian kasih.

Dalam pada itu beliau turut menuntut agar kenaikan gaji dapat diberikan secara adil kepada semua pekerja pembersihan terbabit kerana mendakwa hanya 100 orang pekerja sahaja yang menerima kenaikan gaji sebanyak RM30.

“Selain itu kami berpandangan kenaikan gaji RM30 adalah tidak berbaloi. Kenaikan gaji ini seharusnya dibuat dengan lebih adil dan bukan berdasarkan kepada penilaian prestasi semata-mata.

“Penilaian prestasi yang dibuat secara sewenang-wenangnya ini berkemungkinan boleh dimanipulasi pihak lain,” katanya lagi.

Justeru Sarasvathy meminta agar satu pertemuan empat mata dapat diadakan antara pekerja dengan Edgenta UEMS dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan semua tuntutan tersebut.