PARIT, 21 Julai : Masalah capaian internet lemah di empat penempatan termasuk tiga kampung Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota di sini akan diatasi dengan pembinaan sebuah pencawang telekomunikasi baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, pencawang telekomunikasi itu dijangka siap dibina sebelum hujung tahun ini.

Menurutnya, pembinaan pencawang itu akan memberi manfaat kepada lebih 3,200 penduduk di Orang Asli di Kampung Suak Padi, Tumbuh Hangat dan Gedung Batu serta penduduk di Felcra Nasaruddin di sini.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersetuju memperuntukkan pembinaan sebuah pencawang telekomunikasi baharu di kawasan ini.

“Saya juga meminta SKMM untuk mengambil maklum tentang keperluan perkhidmatan rangkaian internet ini di kampung berdekatan khususnya di Felcra Nasaruddin,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Ibadah Korban Anjuran Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Seri Iskandar di Surau Nurul Hidayah Kampung Suak Padi di sini hari ini.

Khairul Shahril yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota berkata, SKMM akan mengadakan lawatan ke lokasi pembinaan menara telekomunikasi tersebut dalam masa terdekat.

Menurutnya, SKMM sudah mengenal pasti tapak yang sesuai di satu kawasan di atas bukit dan lawatan secara rasmi akan diadakan dalam masa terdekat.

“Saya jangka dalam tahun ini pembinaan menara telekomunikasi ini akan selesai,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Suak Padi, Uda Mat Anak Lelaki Alang, 55, berkata, dia sering menerima aduan penduduk mengenai capaian internet yang lemah di kampungnya.

Menurutnya, berikutan itu ketika Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad melawat kampung itu pada Mac lalu, dia memaklumkan mengenai masalah itu.

“Saya kasihankan anak-anak di kampung ini yang belajar secara dalam talian tapi tiada internet, sampai berpusing keliling rumah mencari liputan internet.

“Saya lega apabila menara telekomunikasi akan dibina di kampung ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE