IPOH, 18 April – Dianggarkan kira-kira 30 peratus daripada semua pengunjung di 28 bazar Ramadan dekat sini dikesan masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata malah terdapat segelintir pengunjung yang tidak berpuas hati sebaik sahaja ditegur pihak berkuasa kerana gagal akur kepada SOP tersebut.

Katanya walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi SOP di bazar Ramadan namun ujarnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih mendahulukan konsep menegur dan memberi nasihat.

“Ada dalam kalangan pengunjung, apabila kita bertegas (dalam soal pematuhan SOP) respons dia agak kurang berpuas hati.

“Namun kita tetap nasihatkan agar mereka terus mematuhi SOP kerana jika gagal kita khuatir kerajaan akan bertindak membatalkan bazar Ramadan itu.

“Dari segi peratusan pengunjung gagal mematuhi SOP di bazar Ramadan dianggarkan sebanyak 30 peratus. Walau bagaimanapun tiada masalah pelanggaran SOP dalam kalangan peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui majlis penyerahan bantuan oleh Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad kepada mangsa-mangsa ribut di Kampung Tasek, dekat sini pada Ahad.

Dalam pada itu Rumaizi berkata MBI telah menambah sehingga ke enam anggota penguat kuasa bagi ditempatkan di tiga bazar Ramadan besar di sini iaitu bazar Ramadan Stadium, Medan Gopeng dan Taman Cempaka.

Katanya ia sebagai langkah mempertingkatkan kawalan dan kadar pematuhan SOP oleh pengunjung di bazar-bazar Ramadan tersebut.

“Sekarang ini di setiap laluan masuk kita memang ada menempatkan anggota penguat kuasa. Namun kini dengan penambahan anggota, kita menempatkan mereka mengawal keadaan di sekeliling bazar.

“Ia bagi memastikan tiada pengunjung yang cuba untuk masuk ke bazar Ramadan dengan tidak menggunakan laluan yang ditetapkan,” jelas beliau lagi.