IPOH, 14 Okt – Dianggarkan seramai 300 orang guru di Perak masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohammed Daud berkata justeru Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada kesemua guru berkenaan.

“Saya difahamkan setakat ini dalam 98 peratus semua guru di Perak sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.

“Pada masa sama, dianggarkan 300 orang guru yang masih belum menerima suntikan vaksin berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Peringkat Negeri Perak yang berlangsung secara maya di Ipoh pada Khamis.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias serta Pengarah, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Mohamad Misbahul Munir Masduki.

Dalam pada itu Ahmad Saidi berkata pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengambil tindakan seterusnya sekiranya ada dikesan guru di negeri ini yang menolak untuk divaksin.

“Saya mewakili Jabatan Pendidikan Negeri, kami masih menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Setakat ini pihak KPM sudah ada maklumat (berhubung perkara itu), cumanya kami masih belum mendengar ataupun meneirma sebarang bentuk tindakan selanjutnya daripada kementerian,” jelas beliau.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Ogos lalu, Ahmad Saidi memberitahu seramai 1,352 guru sekolah rendah dan menengah daripada keseluruhan 37,590 guru di Perak, masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau dilaporkan berkata angka berkenaan membabitkan guru yang belum berdaftar dan yang masih menunggu panggilan untuk divaksin, setakat 29 Ogos.

Dalam perkembangan bersingan, Ahmad Saidi berkata berdasarkan data daripada JKKP Nasional tahun lalu, Perak merupakan negeri kedua tertinggi mencatatkan kadar kemalangan pekerjaan dalam negara iaitu 3.32 bagi setiap 100,000 pekerja.

Ujarnya angka berkenaan melebihi kadar kemalangan pekerjaan negara bagi tahun 2020 iaitu 2.18 bagi setiap 100,000 pekerja.

“Peningkatan kadar kemalangan pekerjaan di negeri Perak ini amat membimbangkan pihak kerajaan negeri. Kesan langsung akibat pengabaian KKP ini, negara boleh mengalami kerugian sebanyak 4 peratus daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun,” tambah beliau.

Justeru katanya lagi kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JKKP Perak bagi mengesyorkan tindakan lebih tegas kepada majikan yang mengabaikan keselamatan dan kesihatan pekerja terutama kepada kes-kes berulang.