IPOH 2 Mei – Seramai 300 penduduk miskin tegar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat dibantu apabila didaftarkan sebagai penerima Kad Prihatin Perak.

Mereka dipilih berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pemberian kad berkenaan antara inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri memberitahu, penerima kad ini dianggap bertuah kerana terpilih daripada ribuan pemohon.

“Memang menjadi harapan kita untuk menambah lagi jumlah penerima kad pada masa hadapan bagaimana pun bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Walaupun nilai pada kad ini kecil tetapi saya percaya ia amat bermakna bagi golongan yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kad Prihatin Perak Bagi DUN Sungai Rapat di pejabat Amanah Gopeng di Bangunan Perniagaan Lapangan Jaya di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan seramai 180 orang menerima kad tersebut manakala bakinya akan diserahkan menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di kawasan masing-masing.

Melalui kad tersebut, penerima akan menerima pembiayaan sebanyak RM80 sebulan untuk pembelian makanan asas dan RM300 untuk rawatan di klinik panel bagi tempoh setahun.

Ia boleh diguna antaranya di rangkaian pasar mini 99 Speedmart, TF Value Mart, Mydin, Econsave, Pusat Pakaian Hari-Hari serta kira-kira 400 klinik panel.

Kad Perak Prihatin yang dilancarkan pada 10 April lalu bagi membantu meringankan bebanan dan kos sara hidup membabitkan kira-kira 17,000 rakyat miskin tegar di negeri ini. – UTUSAN ONLINE