LENGGONG, 10 April – Seluas 3,000 hektar hutan simpan di Perak dikesan telah diceroboh secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata pencerobohan itu memberi kesan terhadap kawasan berhutan di Perak yang seluas 1.01 juta hektar atau 48 peratus daripada 2.11 juta hektar keluasan tanah negeri.

Justeru katanya pelaksanaan ‘Visible Enforcement’ oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak melalui operasi bersepadu sepanjang tahun ini berjaya menangani aktiviti penerokaan hutan secara haram di Perak.

“Setakat ini yang kita kesan ni ada lebih kurang 3,000 hektar tanah hutan simpan yang telah diteroka. Pertama mereka menebang dan menebas kemudian menjual kayu secara haram.

“Yang kedua, mereka bercucuk tanam, di atas tanah tersebut untuk tanah pertanian. Itu kita panggil penerokaan haram dan kita minta semua mereka hendaklah berhenti serta-merta sebab kita ada peraturan-peraturan tertentu untuk membolehkan kita mengeluarkan hasil kayu. Ada masa tertentu.

“Kalau tidak nanti semua orang tebang (pokok) tanpa kawalan, datang musim hujan, dia boleh menyebabkan banjir lumpur. Itu perlunya kawalan. Tetapi setakat ini kita dah ada ‘task force’ (untuk) menangani masalah itu dan sebahagiannya telah diambil tindakan dan didenda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penghijauan Malaysia: Tasik Raban Lenggong sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Selain itu, Saarani menegaskan bahawa susulan daripada pelaksanaan ‘Visible Enforcement’ tersebut, sebanyak lima kes telah dibawa ke mahkamah sementara terdapat beberapa kes lain yang sedang disiasat.

“Jadi sebenarnya kadang-kadang hampir di semua tempat itu orang yang sama buat kerja itu. Jadi, apabila kita sudah kenal pasti orang yang berkenaan itu kita akan dapat menangani aktiviti pencerobohan hutan secara haram. Kita sudah ada maklumat lengkap dan ada namanya,” ujar Saarani.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata di bawah kempen ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’, setakat ini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berjaya menanam lebih 5.8 juta pokok yang merangkumi lebih 515 spesies di seluruh negara.

Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak lebih 100,000 pokok pelbagai spesies telah ditanam di Perak.