KAMPAR, 3 April – Seramai 31 anggota pasukan keselamatan berjaya menamatkan Eksais Pesona Relau sempena memperingati Hari Polis ke-214 di Gunung Relau, di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid telah menyempurnakan pelepasan eksais itu pada sebelah pagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kampar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar, Khairul Anuar Ramli.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri bin Hashim yang mengetuai eksais berkata, eksais disertai 27 pendaki dan empat orang teknikal/sokongan.

Menurutnya, mereka yang terdiri daripada wakil jabatan / agensi yang melaksanakan kerja-kerja “Barisan Hadapan” dalam Mencari dan Menyelamat (SAR) Daerah Kampar selari dengan MKN 20 – Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara.

“Pecahan peserta adalah PDRM IPD Kampar (13), Bomba dan Penyelamat Kampar (3), APM Kampar (3), RELA Kampar (2), Pejabat Perhutanan Kinta (3), Batalion 3 PGA Bidor (3) dan PDRM IPD Kampar (Teknikal/Sokongan) (4),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau antara objektif eksais ialah:-

1.  Meninjau keadaan bentuk muka bumi kawasan terlibat sebagai persediaan untuk tugas-tugas menyelamat dan “respond time".

2.  Menguji kemampuan sistem komunikasi dalam melaksanakan operasi bencana di kawasan terlibat.

3.  Memastikan kesiapsiagaan semua elemen penugasan di samping menguji tahap ketahanan fizikal dan mental dalam melaksanakan operasi menyelamat di kawasan terbabit.

4.  Mengenal pasti koordinat lokasi- lokasi tumpuan dan berisiko sepanjang jajaran di Gunung Relau dan persekitaran.

5.  Memberi pendedahan awal kepada pasukan menyelamat di samping mewujudkan semangat setia kawan di antara pasukan penyelamat. 

6.  Menghayati semangat perjuangan Sempena Peringatan Hari Polis ke 214 Tahun 2021 dengan mengunjungi tempat sejarah Perang Dunia Ke 2. 

“Eksesais telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang. 27 peserta telah berjaya menamatkan pendakian dengan selamat tanpa sebarang insiden tidak diingini,” ujarnya.