IPOH, 1 MAC – Semua 31 pegawai dan anggota polis yang dikenal pasti terlibat dalam sindiket penipuan Macau Scam dan perjudian dalam talian membabitkan Addy Kanna bakal berdepan hukuman berat termasuk dibuang kerja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah melengkapkan kertas siasatan kes itu.

Menurutnya, kes itu akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, di bawah bidang kuasa SPP, kesemua anggota yang terlibat itu boleh dikenakan tindakan tegas seperti ditamatkan perkhidmatan atau diturunkan pangkat.

“Kesalahan itu dianggap sesuatu yang amat serius atas kepentingan orang ramai. Bukan calang-calang saya sebagai Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan.

“Jadi saya membawanya ke peringkat atasan supaya ia dapat diadili sebaiknya dan seadil-adilnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas Upacara penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli siri 1/2020 di Lapang Sasar Utana Briged Utara PGA Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Pada Disember, media melaporkan seorang pegawai polis berpangkat DCP dan seorang Inspektor adalah antara anggota keselamatan yang disiasat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna dan Goh Leong Yeong atau Alvin Goh.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata siasatan pihaknya dalam kes berkenaan adalah menjurus kepada anggota dan pegawai yang memiliki nilai aset luar biasa berbanding jawatan serta gaji mereka, sejarah perjalanan ke luar negara tanpa kebenaran dan beberapa aspek lagi.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, orang ramai digalak melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berlakunya kejadian ‘potong barisan’ dalam proses pemberian vaksin fasa pertama yang telah bermula sejak 24 Februari lalu.

Menurutnya, kesalahan itu boleh dianggap sebagai satu penyelewengan dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pihak yang terlibat.

“Kalau sekiranya berlaku sepertimana didakwa, kita minta laporlah kepada pihak saya (polis), mungkin ada penyelewengan di satu-satu pihak dan ia boleh jadi satu kesalahan jenayah,” ujarnya.

Beliau mengulas dakwaan mengatakan terdapat 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba ‘memotong barisan’ untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19.

Mesej yang tular di media sosial itu mendakwa suntikan vaksin kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi ‘laluan’ kepada 200 ahli SUK Kelantan terbabit.