SUBANG JAYA: Seramai empat lelaki yang berkumpul di Jalan Usj 16, seberang jalan menghadap Kuil Maha Mariamman, dekat sini, ditahan polis kira-kira jam 1 pagi tadi, selepas arahan bersurai oleh polis tidak diendahkan.

Terdahulu, kumpulan berkenaan dilihat mula berlegar-legar di kawasan itu kira-kira jam 10.45 malam sebelum pihak polis mengarahkan mereka beredar. Bagaimanapun, satu lagi kumpulan muncul menyebabkan bilangan mereka semakin ramai.

Salah seorang daripada mereka yang mahu dikenali sebagai Shahrizat berkata, tujuan kedatangan mereka bukan untuk membuat provokasi atau mencederakan orang awam.

Selepas lebih sejam berkumpul, pasukan dari Unit Tempur Ringan (LSF) ke lokasi di Jalan USJ 16, sebelum pihak polis meminta mereka beredar secara aman dalam kiraan sepuluh, jika tidak mahu ditahan.

Bagaimanapun, sebilangan daripada mereka enggan beredar sebelum pihak polis mula bertindak menahan empat lelaki.

Secara keseluruhan, keadaan di hadapan kuil berkenaan tenang dan terkawal dengan puluhan anggota polis termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berada dalam keadaan berjaga-jaga di lokasi.

Keadaan tenang pada jam 3.10 pagi ekoran daripada rusuhan di hadapan Kuil Sri Mariamman, USJ 25. – Foto Mahzir Mat Isa
Bilangan anggota polis dilihat semakin ramai menjelang tengah malam dengan mengawasi setiap sudut kuil dan kawasan sekitar.

Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekitar kuil sejak jam 8 malam apabila laluan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dekat Kilometer 1.4 menghala ke Shah Alam ditutup.

Laluan dilencongkan ke Putra Height selain laluan masuk dari Putra Height ke laluan utama turut ditutup sepenuhnya bertujuan mengawal keadaan di kuil berkenaan, namun ia dibuka semula kira-kira jam 3 pagi – berita harian