IPOH, 21 Feb: Sebanyak 49 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bersiap sedia bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama seluruh Perak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal, antara lokasi PPV ialah di Stadium Indera Mulia di sini.

Katanya, bagi fasa kedua dan ketiga pelaksanaan vaksinasi, tambahan lokasi (dewan) akan dikenalpasti kesesuaiannya oleh Pegawai Daerah untuk dijadikan PPV.

“Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Indera Mulia pada Selasa 23 Februari 2021 ini.

“Baginda Tuanku amat prihatin dan cakna terhadap program pelaksanaan vaksinasi ini,”katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, mengikut jangkaan pada fasa pertama, Perak akan menerima sebanyak vaksin sebanyak 79,560 dos.

Manakala bilanhan petugas barisan hadapan yang akan menerima vaksin pada fasa tersebut ialah 33,503 orang, termasuk Menteri Besar serta Ahli MMK Perak.

Katanya lagi, pendaftaran awam bagi pelaksanaan vaksinasi akan bermula bulan Mac 2021, manakala bagi fasa kedua bermula April hingga Ogos.

“Bagi fasa kedua adalah golongan warga emas 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan OKU.

“Manakala untuk fasa ketiga bermula bulan Mei 2021 hingga Februari 2022, iaitu bagi penduduk berumur 18 tahun ke atas untuk warganegara atau bukan warganegara.

“Keutamaan akan diberikan kepada zon Merah seterusnya Kuning dan Hijau,”katanya.

Untuk orang awam, kaedah pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera, melalui laman sesawang www.vaksinCovid.gov.my dan fasiliti Kesihatan kerajaan dan swasta.

Talian hotline akan dimaklumkan kemudian.
Program bantuan ‘outreach’ bagi kawasan luar bandar dan pedalaman juga antara kaedah yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.