GERIK – 51 peneroka tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Bersia, dekat sini, akhirnya dapat menarik nafas lega apabila menerima geran hak milik tanah hari ini.

Rabayaah Mat Saman, 74, antara penerima geran hak milik tanah bagi kategori generasi pertama.

Katanya dia bersyukur atas pemerian geran itu selepas menantikannya lebih puluhan tahun.

“Saya generasi pertama di FELDA Bersia. Saya datang dan menetap ke sini bersama arwah suami pada tahun 1963. Kini saya sangat bersyukur atas pemberian geran hak milik tanah itu,” katanya.

Perasaan bersyukur turut diluahkan Zainol Ismail, 62, yang merupakan penerima bagi kategori peneroka generasi kedua.

“Saya menantikan geran ini dalam 20 tahun. Syukur, alhamdulillah. Saya juga berjanji akan menjaga pemberian tanah ini dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Peneroka FELDA Bersia, di sini pada Sabtu.

Majlis yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Salbiah Mohamed; ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Timbalan Pengarah Besar ( Pembangunan Ekonomi) FELDA, Mahadzir Mustafa.

Dalam program tersebut, Menteri Besar mengingatkan agar semua penerima geran hak milik tanah FELDA tidak melepaskannya kepada individu ataupun pihak lain.

Katanya walaupun ada pihak yang cuba membuat tawaran lumayan sehingga bernilai ratusan ribu namun ianya akan memberi mudarat dalam jangka masa panjang kepada pemilik.

Penerima geran, Salbiah Baharom, 58, berkata nasihat Menteri Besar itu harus diambil pengajaran dan ingatan oleh semua peneroka.

“Saya sambut baik ingatan Menteri Besar itu kerana ini adalah hasil susah payah mak ayah kita sebelum ini, kemudian takkan pula kita hendak jual kepada orang lain.

“Lagi pun ini adalah pemberian pihak kerajaan. Sebagai rakyat, kita kena menjaganya dengan baik. Selain itu ia juga adalah satu keperluan buat generasi masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Peneroka FELDA Bersia, Mohd Fadzil Jaafar Sidek berkata terdapat lebih 3,000 individu yang mendiami penempatan di FELDA Bersia.

Katanya daripada jumlah tersebut, seramai 14 peneroka dan 48 penerokawati generasi pertama yang masih hidup.