PARIT, 16 MAC – Seramai 52 usahawan tani akan terlibat dengan penanaman nanas MD2 di Ladang Gugusan Lambor, dekat sini dan di Perak Agrotourism Resort (PATRO) Kampung Gajah dekat Pasir Salak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata daripada jumlah tersebut seramai 30 peserta akan terlibat di Ladang Gugusan Lambor seluas 24.28 hektar sementara selebihnya di tanah berkeluasan 17.80 hektar di PATRO.

Katanya melalui inisiatif yang dijalankan di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kerajaan negeri akan melihat keperluan dan kesesuaian bagi memperluaskannya ke ladang-ladang lain.

“Tanaman nanas MD2 adalah tanaman yang merupakan tanaman yang mempunyai nilai pasaran yang terbaik.

“Selain itu dengan adanya 52 usahawan itu, ianya dapat melahirkan peluang-peluang pekerjaan baharu di Perak Tengah. Ini sudah tentu akan memberi kebaikan khususnya kepada golongan muda,” katanya.

Tambah beliau PPPNP pada tahun ini meletakkan sasaran melahirkan 500 orang usahawan baharu yang terlibat dengan pertanian yang dijangka mampu memberi manfaat kepada hampir 1000 keluarga seluruh negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan dan Pelancaran Ladang Integrasi Nanas dan Kenaf di Ladang Gugusan Lambor di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri merangkap ADUN BOTA, Khairul Shahril Mohamed serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata projek penanaman kenaf di Ladang Gugusan Lambor yang bermula 17 Januari lalu dijangka dapat dituai penuh hasil tanaman menjelang pertengahan Mei nanti.

Katanya tanaman kenaf di situ melibatkan kawasan seluas 140 hektar atau 25 peratus daripada 563 hektar ladang kelapa sawit yang ditanam di lorong pelepah sawit belum matang.

“Penanaman kenaf akan diperluaskan tanamannya di kawasan seluar 10 hektar di lokasi sama. Tanaman kenaf dijangka dapat dituai dalam tempoh tiga bulan.

“Selain itu di Ladang Gugusan Lambor juga ada dijalankan ladang integrasi nanas MD2 yang meliputi kawasan seluas 76 hektar,” katanya.