KUALA LUMPUR, 3 MAC : Seramai 53,287 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah menerima suntikan sehingga semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan jumlah paling tinggi menerima suntikan dos pertama melibatkan seramai 9,737 penerima.

Katanya, negeri kedua tertinggi pula ialah Perak dengan jumlah keseluruhan suntikan sebanyak 5,714; diikuti Pahang seramai 5,696 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan jumlah seramai 5,601 orang.

“Selain itu, Kelantan merekodkan jumlah suntikan sebanyak 4,593; diikuti Johor (4,430); Kedah (3,017); Terengganu (2,438); dan Selangor (2,047).

“Negeri yang merekodkan jumlah lebih 1,000 pula ialah Negeri Sembilan iaitu sebanyak 1,905 diikuti Pulau Pinang (1,821); Melaka (1,501); Sabah (1,317); Wilayah Persekutuan Labuan (1,285); Perlis (1,057) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu sebanyak 1,028 individu,” katanya dalam satu ciapan di akaun Twitternya di sini, pada Rabu.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi individu pertama menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. – AWANI