Oleh: Fakhirul Akhbar

TAHUKAH anda, terdapat beberapa nama tempat yang pelik dan unik di Malaysia yang tidak pernah anda dengari. Walaupun kadangkala nama tempat tersebut kedengaran lucu dan tidak masuk akal, tetapi ianya mempunyai sejarah dan tarikan tersendiri kepada pelancong untuk berkunjung ke sana.

Untuk artikel kali ini, Suara Perak menyenaraikan tujuh nama tempat yang unik dan pelik di Malaysia khas untuk tatapan anda.

1. Desa Temu Jodoh

Kepada anda yang masih ‘single’ dan ingin mencari jodoh, anda dialu-alukan datang ke desa ini. Mana tahu untung nasib anda mungkin dapat ‘buah hati’ untuk dibawa pulang.

Asal usul nama desa yang terletak di Segamat ini bermula pada tahun 1972 apabila sekumpulan peneroka telah dihantar ke sini atas tujuan meneroka  kawasan tersebut  untuk dijadikan kawasan penanaman kelapa sawit.

Bagaimanapun, dalam tempoh lima tahun, mereka tidak dibenarkan untuk berkahwin dan berkeluarga agar mereka dapat memberikan sepenuh tumpuan untuk membangunkan kawasan tersebut.

Selepas tempoh tersebut berakhir, para peneroka telah sepakat mengambil keputusan untuk berkahwin beramai-ramai. Lebih 24 pasangan melangsungkan perkahwinan dalam suatu majlis besar-besaran di desa tersebut.

2. Kampung New Zealand

Jika anda ternampak papan tanda tertulis Felda New Zealand, jangan tampar pipi anda. Percayalah  anda tidak sesat dan masih berada di Malaysia.

Felda New Zealand terletak di daerah Maran, Pahang. Mungkin anda tertanya-tanya mengapa ia dinamakan sempena negara kiwi ini. Terdapat dua versi cerita asal usul nama felda tersebut.

Pertama, sewaktu  kampung ini dibangunkan sebagai tanah rancangan Felda, ianya mendapat sumbangan daripada kerajaan New Zealand. Sumbangan itu disalurkan melalui Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia. Atas sebab demikian, kampung ini dinamakan sebegitu bagi menghargai jasa kerajaan New Zealand.

Satu lagi versi cerita daripada penduduk tempatan yang mengatakan bahawa perkampungan ini dibuka oleh orang Maori yang berasal dari New Zealand.

3. Kampung Imam Lapar

Mendengar nama kampung ini sahaja telah membuatkan anda ketawa, namun masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan kampung ini. Kampung Imam Lapar terletak di Hulu Terenganu. Tentu anda pelik kenapa kampung ini dinamakan sedemikian.

Menurut cerita masyarakat setempat, suatu ketika dahulu, terdapat dua orang Pendakwa yang sedang  bermusafir  dan mereka berhenti seketika di surau kampung tersebut untuk mecari makanan. Pada ketika itu, mereka berdua sungguh lapar. Sebaik sahaja sampai di surau, mereka memanggil imam surau itu untuk meminta sedikit makanan.

Namun, malangnya imam tersebut tidak mendengar panggilan mereka itu kerana sedang khusyuk membaca Al-Quran. Setelah menunggu begitu lama, pendakwah tersebut beredar dari surau tersebut dalam keadaan lapar.

Oleh sebab itu, kampung tersebut dinamakan Kampung Imam Lapar bersempena kisah tersebut. Jadi, tahulah anda bahawa tiada siapa yang sedang kebuluran di kampung ini.

4. Kampung Nasi Dingin

Kira-kira sembilan kilometer dari Kampung Imam Lapar, terdapat sebuah kampung yang juga berkait dengan makanan iaitu Kampung Nasi Dingin. Kebetulan bukan?

Kampung ini terletak di Kuala Berang, Terengganu, terkenal dengan hidangan nasi dingin yang merupakan antara hidangan popular di pantai timur.

Kampung ini mendapat namanya berdasarkan satu peristiwa yang menimpa seorang pedagang, dimana  pada ketika dalam perjalanannya, pedagang tersebut telah berhenti di sebuah tempat bernama Teluk Pasir Som yang terletak di tebing sungai Terengganu untuk berehat.

Di situ, beliau yang ketika itu sedang lapar telah menanak nasi dan menyediakan lauk-pauk untuk dimakan. Bagaimanapun, nasi tersebut tidak dapat dihabiskan lalu dibuang di tebing pasir tersebut.

Keesokan harinya, pedagang tersebut meneruskan perjalanannya. Tetapi, setelah bergerak kira-kira sepuluh depa dari tempatnya bermalam, tiba-tiba, beliau terdengar suara tangisan yang datang dari arah tersebut.

Beliau yang terkejut mendengar suara tangisan itu, segera kembali ke tempat tersebut dan mencari punca tangisan itu. Setibanya di situ, beliau terlihat nasi yang dibuangnya semalam dan mengambil nasi dingin tersebut dibawanya bersama dalam perjalanan. Sejak itu, suara tangisan tersebut telah hilang dan tidak kedengaran lagi.

5. Pulau Kentut Besar/Pulau Kentut Kecil

Bagi anda yang pertama kali mendengar nama pulau ini, pastinya merasa geli hati dan pelik mengapa ianya dinamakan sedemikian. Bagi sesetengah orang, nama ini mungkin kedengaran agak tidak senonoh namun, terdapat kisah menarik di sebalik nama pulau yang terletak berdekatan Pulau Langkawi ini.

Nama pulau ini diambil daripada sebuah kejadian di majlis perkahwinan di antara anak perempuan Mat Chincang dan anak lelaki Mat Raya. Al-kisah, kononnya ketika majlis makan beradab, kedua-dua mempelai tersebut telah membuang angin dengan kuat di hadapan para tetamu. Kejadian memalukan itu telah menimbulkan kekecohan di majlis tersebut sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua keluarga.

Di sebalik kisah memalukan itu, pulau ini menyimpan seribu satu keindahan alam yang menjadikannya destinasi yang sering dilawati pelancong.

6. Sungai Bangang

Nama sungai ini mungkin kedengaran agak biadap namun, sungai ini terkenal dengan kejernihan airnya yang mengalir sejuk dan panorama sekitarnya yang memukau pandangan.

Sungai Bangang terletak di Hulu Dungun, Terengganu dan untuk sampai ke sungai ini, anda perlu mendaki laluan Chemerong, Berembun dan  Langsir selama dua hari yang licin dan curam. Namun, pemandangannya sangat berbaloi untuk anda nikmati.

7. Kampung Mangkuk

Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘mangkuk’ mempunyai dua maksud yang berbeza. Pertama; mangkuk bermaksud bekas meletak makan yang berkuah. Selain itu, perkataan tersebut juga turut disinonimkan sebagai bodoh.

Di Terengganu, terdapat sebuah kampung diberi nama Kampung Mangkuk. Asal nama berkenaan diambil berdasarkan kisah tempatan yang mendakwa terdapat seorang pengembara yang mendayung sampan  menyusuri Sungai Setiu.

Ketika itu, sungai tersebut dikatakan mempunyai seekor buaya yang sangat ganas dan telah mengorbankan banyak nyawa.

Setelah penat mendayung, pengembara tesebut berasa haus lalu berhenti seketika untuk meminum air. Oleh kerana tiada pencedok, pengembara tersebut cuba menggunakan kedua-dua tangannya untuk mencedok air tetapi kemudian membatalkan hasratnya itu kerana teringat akan berita keganasan buaya di sungai itu.

Bagaikan bulan jatuh ke riba, tidak jauh dari tempat berhenti, beliau ternampak magkuk sedang terapung di atas permukaan sungai. Lantas, beliau segera mendayung ke arah mangkuk tersebut dan menggunakannya untuk mencedok air.

Beliau berasa sungguh gembira selepas dapat  minum sepuasnya dan beliau membawa pulang mangkuk tersebut ke kampung halaman.

Pengembara itu menceritakan peristiwa tersebut kepada isterinya dan ketika ditanya dimanakah peristiwa itu berlaku, pengembara itu menjawab di kampung mangkuk dan nama tersebut kekal sehingga ke hari ini