IPOH: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Arena Badminton Perak yang dibuka mulai Sabtu lalu menempatkan 96 pesakit setakat pagi ini.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming mengesahkan jumlah itu ketika dihubungi.

“Setakat jam 8 pagi ini, kita ada 96 pesakit di PKRC Arena Badminton Perak,” katanya dalam jawapan melalui aplikasi Whatsapp pagi ini.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran dalam laman Facebook mengesahkan pembukaan pusat tersebut.

Menurut Noor Hisham, PKRC itu akan menempatkan 160 katil, masing-masing bagi menempatkan 80 pesakit lelaki dan 80 pesakit wanita.

Beliau berkata, pusat rawatan itu akan memberi tumpuan dalam merawat pesakit yang berada pada tahap satu dan dua.