KUALA LUMPUR, 8 JUN : Kementerian Pertahanan mengesahkan seramai 98 kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif Covid-19.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua anak kapal berkenaan sebelum itu didapati negatif selepas menjalani ujian RTK Antigen sebelum menaiki kapal berkenaan.

“Selepas berada beberapa hari di dalam kapal mereka didapati positif, setakat ini semua anak kapal terlibat tidak mengalami sebarang simptom dan mereka telah diasingkan dan kini menjalani kuarantin.

“Insya-Allah selepas 10 hari mereka akan menjalani ujian PCR dan jika negatif mereka akan dibenarkan keluar,” katanya pada sidang akhbar melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Menurut Ismail, mereka telah menjalani kuarantin selama lima hari dan tempoh itu ditamatkan selepas mendapat arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan.

“Kita tidak tahu mereka bermula (punca) daripada mana atau dari rumah. Seperti kita tahu, Covid-19 berada dalam komuniti, mungkin di tempat lain sebelum pergi belayar.

“Cuma kita tahu sebelum naik negatif, selepas naik dengan ujian PCR baru diketahui positif,” katanya. – UTUSAN