JIKA di Cameron Highlands, Pahang terkenal dengan tanaman teh, Daerah Kuala Kangsar di Perak bakal menjadikan tanaman kopi sebagai produk pelancongan terbaharu.

Penaung Persatuan Pembangunan Pelancongan Daerah Kuala Kangsar, Siti Norlizawati Narawi optimis bahawa tanaman berkenaan mampu menjadi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Perak.

Katanya tanaman kopi di dua lokasi iaitu Ulu Kenas dan Kampung Jawang di daerah berkenaan merupakan sebahagaian daripada produk yang berkonsepkan kepada ‘agritourism’.

Menurutnya sebanyak 500 pokok kopi jenis ‘Liberica’ telah ditanam di Ulu Kenas sementara tanaman kopi jenis ‘Robusta’ ditanam di atas tanah seluas 2 ekar di Kampung Jawang.

“Di Ulu Kenas, pengunjung boleh memetik kopi kerana musim menuainya telah bermula pada penghujung Oktober. Mereka berpeluang untuk memetik dan mempelajari bagaimana proses pengedaran biji kopi mentah.

“Sementara di Kampung Jawang, pengunjung boleh mempelajari bagaimana untuk memindah benih anak pokok kopi ke dalam polibeg.

“Walau bagaimanapun di Kampung Jawang kami dalam perancangan untuk mengadakan sesi yang mana pengunjung berpeluang untuk memanggang dan memproses kopi pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Selasa.

Siti Norlizawati memberitahu tanaman kopi di Kampung Jawang mendapat kerjasama dengan Nestlé Malaysia pada Jun lalu bagi projek Ladang Usahawan Graduan di Senggang oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Menurutnya pengunjung di Pusat Latihan Lang Buana di Kampung Jawang berpeluang untuk membeli anak-anak pokok kopi berkenaan di situ.

Dalam pada itu, katanya pelancong ke Kuala Kangsar juga berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti air di Sungai Perak termasuk bermandi-manda di kawasan persisiran sungai.

“Seperti Kampung Senggang, pengunjung boleh memberi makan, menangkap, memasak mahupun mandi bersama-sama ikan yang berada dalam sangkar berkenaan.

“Antara jenis ikan yang berada di sangkar berkenaan adalah ikan patin dan talapia merah,” katanya lagi.

Sementara itu itu beliau berkata terdapat pelbagai produk agro-pelancongan baru dan yang sedia ada yang terdapat di sekitar Kuala Kangsar antaranya Tanaman Hidroponik Moden, Kampung Jawang; Tanaman Cendawan Tiram, Kampung Temin; Tanaman Jagung Pulut dan Susu, Kampung Kroh Hulu; Tanaman Sayuran Teknologi Vietnam, Kampung Kroh Hulu; Nurseri Kopi Perak, Kampung Jawang dan Kampung Talang; Selain Petting Zoo, terdapat Penternakan Arnab Pedaging Lang Buana, serta Pembuatan Produk Kekabu.

“Selain daripada nilai sejarah, Kuala Kangsar menawarkan pelbagai jenis aktiviti pelancongan seperti jualan kraftangan, aktiviti berakit dan berkayak serta pelbagai program pelancongan lain yang bakal disusun,” ujarnya.

Pada masa sama Siti Norlizawati menjelaskan pihaknya juga kini sedang giat mencari lebih banyak produk baharu di seluruh Kuala Kangsar yang berpotensi merancakkan lagi sektor pelancongan domestik.

Penggiat industri pelancongan Kuala Kangsar bersedia

Kebenaran pergerakan rentas negeri yang bermula semalam bagi individu lengkap vaksinasi COVID-19, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini nyata memberi sinar harapan buat pengusaha sektor pelancongan di Kuala Kangsar.

Ini kerana Siti Norlizawati berkata penularan wabak berkenaan ditambah dengan larangan rentas negeri sejak 10 Januari nyata memberi kesan buruk kepada mereka.

Justeru katanya susulan kelonggaran yang terbaharu oleh kerajaan itu, kesemua mereka telah bersedia untuk menerima kedatangan pelancong dari dalam dan luar Perak.

“80 peratus tempahan aktiviti pelancongan dan inap desa di sekitar Kuala Kangsar sudah mula penuh. Rata-rata tempahan dibuat oleh pelancong dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.

“Mungkin pada minggu ini pelancong akan mula datang ke Kuala Kangsar. Namun saya menjangkakan trend peningkatan jumlah kedatangan pelancong bermula pada penghujung bulan ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun Siti Norlizawati mengingatkan agar pengunjung mahupun pengusaha pelancongan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaupun kelonggaran untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan domestik dibenarkan kerajaan namun semua pihak diingatkan untuk tidak alpa dengan pematuhan SOP.

“Saya berharap agar orang ramai dapat memberi sokongan dalam usaha kita menghidupkan kembali sektor pelancongan tempatan demi kebaikan semua,” katanya lagi.