PORT DICKSON, 30 OKT : Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan terdapat perkembangan positif mengenai kerjasama antara UMNO, Pas dan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, perkara itu adalah hasil mesyuarat yang diadakan bersama tiga buah parti itu malam semalam.

“Ada sedikit berita gembira malam tadi, kita adakan mesyuarat bersama tiga parti, Pas, UMNO dan Bersatu. Insya-Allah bicara soal persiapan dalam PRN Melaka, nampaknya sekarang Pas dikehendaki semua parti.

“UMNO buat keputusan dia bersetuju bersama dengan Pas, Pas merakamkan terima kasih kepada UMNO kerana merasai dan perlunya muafakat ini dikekalkan.

“Waktu yang sama, Bersatu pun hendak dengan kita, lalu saya cadangkan, kalau begitu, gunakan sahaja lambang Pas, sekadar lontaran ya,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-62 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, soal permuafakatan tiga parti tersebut adalah lebih besar daripada soal perebutan kerusi.

“Seperti yang dikatakan oleh Presiden Pas, cabaran yang akan dihadapi masa depan adalah jauh lebih besar daripada soal kerusi, Pas ada pengalaman panjang dalam politik negara.

“Saya tengok tidak ada parti yang ada pengalaman muafakat politik sehebat Pas, kita boleh sanggup kompromi luar biasa yang jarang orang lain sanggup kompromi sedemikian,” katanya. – UTUSAN