IPOH, 21 Jun – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac dan ditambah dengan Sekatan Pergerakan Penuh, nyata memberi kesan buruk kepada ribuan pemandu teksi di Perak.

Pengerusi Gabungan Pemandu Teksi Islam Perak, Mohamad Helmi Hashim berkata sebelum ini terdapat hampir 3,000 pemandu teksi di Perak yang mana dianggarkan sebahagian besarnya beragama Islam.

Katanya, namun sejak PKP yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu, seorang demi seorang sehinggalah membawa kepada 2,000 pemandu teksi ‘menyerah kalah’ dengan situasi semasa.

“Terlalu ramai yang terkesan dengan PKP. Ada yang terpaksa memulangkan kembali teksi yang disewa, ada juga yang terpaksa jual teksi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Ada juga yang sudah muda mencari mata pencarian lain. Bagi yang sihat tubuh badan, boleh beralih kerja sebagai pengawal keselamatan, namun yang tua macam mana pula. Sebilangan besar pemandu teksi adalah golongan tua,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di Terminal Amanjaya Meru Raya dekat sini, pada Isnin.

Mohamad Helmi yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Amanjaya berkata, pemandu teksi yang masih bertahan ketika ini bergantung kepada nasib semata-mata kerana bilangan penumpang makin berkurangan walaupun ketika musim perayaan.

“Sebelum PKP, pendapatan semasa Hari Raya Aidilfitri boleh mencecah purata antara RM120 ke RM150 sehari. Namun pada Hari Raya baru-baru ini, pendapatan hanya RM30. Ada juga pemandu teksi yang pulang dengan tangan kosong.

“Selain itu, saya sendiri pernah berada di sini sejak pukul 1 tengah hari. Namun pada jam 2 pagi baru saya dapat pelanggan dengan bayaran RM30,” luahnya.

Tambahnya ketiadaan kehadiran pelancong ditambah dengan perkhidmatan e-panggilan yang makin aktif di negeri ini benar-benar mencabar pemandu teksi dalam mendepani situasi pandemik ketika ini.

Justeru itu Mohamad Helmi meminta agar kerajaan dapat menyediakan bantuan khusus kepada pemandu-pemandu teksi yang terjejas kerana golongan itu juga merupakan instrumen penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

“Setakat ini Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menyediakan peruntukan Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup yang mana ada menyenaraikan pemandu teksi sebagai penerima sasar,” katanya lagi.

Mohamad Helmi juga berharap supaya kerajaan dapat menilai semua prosedur operasi standard (SOP) yang menghadkan setiap kenderaan kepada tiga individu iaitu seorang pemandu dan dua penumpang.

Sementara itu, T.Arumugam yang sudah 20 tahun menjadi pembawa teksi mengakui menghadapi situasi sukar sejak tahun lalu susulan penularan COVID-19.

“Sekarang ini nak dapat seorang penumpang pun susah. Selalu sangat pulang dengan tangan kosong. Ada kalanya terpaksa tunggu sampai malam barulah dapat RM20 ke RM30 dalam sehari,” ujarnya.