IPOH, 8 DIS : PAS hari ini, membatalkan rancangan menghantar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh.

Tiga ADUN parti itu sepatutnya mengadap baginda pada jam 3 petang tadi.

Mereka terdiri daripada Razman Zakaria (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, berkata keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.

“PAS (Perak) batal menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh jam 3 petang ini, atas arahan pucuk pimpinan,” katanya.

Sementara itu sumber dari istana, pula memberitahu asalnya PAS dijadualkan mengadap Sultan Nazrin pada jam 3 petang tadi.

Terdahulu, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) tiba memasuki perkarangan Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilihat tiba menaiki kenderaan berasingan pada jam 2.55 petang.

Kemudiannya, disusuli Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi tiba pada jam 3.05 petang.

Ketiga-tiga pemimpin dipercayai menghadap sembah maklum situasi politik di negeri ini.