IPOH, 15 Jan –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu membuat laporan polis berhubung penahanannya di sebuah kelab malam di  Perai, Pulau Pinang, Khamis lalu.

Dalam mesej ringkas kepada pemberita, ADUN DAP itu bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai butiran laporan polis yang dibuatnya.

Menurutnya, beliau juga akan membuat kenyataan dalam masa terdekat mengenai penahanannya itu.

“Saya telah membuat laporan polis dan akan membuat kenyataan,” katanya.

Sebelum ini, seorang ADUN dari Perak dilaporkan  ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai kelmarin kerana disyaki positif dadah. 

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata,
Terence Naidu telah diminta mengemukakan laporan bertulis kepada DAP berhubung penahanannya itu.

Menurutnya, laporan lengkap itu diperlukan agar pimpinan parti baik di peringkat negeri mahupun Pusat dimaklumkan situasi sebenar yang berlaku.

“Saya telah menghubungi Terence Naidu dan mengesahkan bahawa beliau telah ditangkap pada malam Khamis lepas.

“Beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis, sehubungan itu saya telah meminta agar beliau mengemukakan laporan bertulis berhubung kejadian itu kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, DAP memberi jaminan kepada orang ramai bahawa parti itu memandang serius kelakuan dan integriti setiap wakil rakyatnya.

“Mereka seharusnya menjadi contoh teladan sebagai orang yang telah diamanahkan untuk memimpin rakyat,” katanya.