IPOH, 15 Jan – Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini menjaga perilaku dengan tidak melibatkan diri dalam kes yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, tidak kiralah wakil rakyat daripada parti mana baik sekalipun, mereka mempunyai tanggungjawab mempamerkan contoh teladan yang baik kepada rakyat.

“Semua orang termasuk ADUN-ADUN tidak kiralah dari parti mana, kita sebagai penggubal undang-undang hendaklah mematuhi undang-undang yang kita sendiri gubal. Kita mesti mengetahui apa-apa perkara itu melanggar undang-undang ataupun tidak.

“Sudah tentu sebagai pemimpin, kita mesti well behave kerana kita adalah contoh dan teladan kepada rakyat dan penyokong-penyokong yang kita pimpin,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Sukarelawan Skuad Sabil Negeri Perak di Bangunan UMNO Perak di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan seorang ADUN Perak dalam serbuan polis di sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam Pulau Pinang pada Khamis.

Saarani berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes itu kepada polis termasuk untuk diambil tindakan di mahkamah.

“Jika didapati ada merit untuk didakwa, maka pihak pendakwa raya akan buat pendakwaan dan dihakimi di mahkamah.

“Itu saya serahkan kepada pihak berwajib dan kita sendiri tidak boleh lah buat apa-apa pengumuman (lanjut) kerana masih dalam siasatan polis,” katanya.

Mengulas perkara sama, Asyraf Wajdi berkata, mana-mana pemimpin sekalipun, perkara paling penting yang akan dinilai rakyat adalah berkaitan integriti dan amanah kepada diri sendiri serta rakyat.

“Saya tidak merujuk kepada sesiapa, tetapi saya rasa sebagai pemimpin, inilah asas yang paling utama yang harus kita jaga,” katanya.