LUMUT, 11 Julai – Semua ahli parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) berhak menyuarakan pandangan atau sebarang pendapat berhubung apa-apa perkara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata walau bagaimanapun ianya hendaklah dibincangkan dalam peringkat BN apabila melibatkan suatu keputusan besar.

Tegasnya, selari dengan prinsip BN, sebarang ketetapan yang hendak dibuat melibatkan gabungan itu harus diputuskan secara konsensus.

“Itu adalah pandangan hak untuk setiap ahli komponen menyuarakan pandangan mereka. Bagi saya ia tidak satu kesalahan untuk ada cadangan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli komponen kita,

“Akan tetapi yang mustahak apabila ada satu keputusan besar yang hendak melibatkan BN, maka ia akan dibawa untuk diperbincangkan dan seterusnya diputuskan secara konsensus,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan pek makanan kepada 400 pekerja pelancongan di Pulau Pangkor yang terjejas pada Ahad.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada para pengusaha hotel dan resort untuk diagihkan kepada kakitangan mereka.

Sebelum ini media melaporkan walaupun MIC menghormati pendirian UMNO yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun meminta agar ianya dibincangkan dalam peringkat tertinggi BN sebelum dimuktamadkan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata ini kerana sokongan oleh ahli parlimen BN terhadap kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak dibuat satu-satu parti sebaliknya ia di bawah kesepakatan BN.

Ketika ditanya pemberita kemungkinan akan diadakan perbincangan berhubung perkara tersebut dalam BN, Zambry berkata ianya akan dirujuk terlebih dahulu dengan pimpinan komponen parti.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO juga menuntut supaya Muhyiddin meletak jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.