IPOH, 23 FEB – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan memberi rasuah membabitkan nilai RM1,700 kepada seorang pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat, empat tahun lalu.

Tertuduh Lai Kim Seong, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, Kim Seong secara rasuah memberikan wang suapan berjumlah RM1,700 kepada seorang kakitangan di MY EG Sdn Bhd pada waktu dan tempat berbeza dalam daerah Ipoh antara jam 11.40 pagi hingga 3.55 petang pada 18 Januari dan 13 Februari 2017.

Suapan itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan lima keping pas lawatan kerja sementara bagi pekerja asing yang mempunyai pasport di mana permit tersebut tidak boleh dikeluarkan memandangkan tertuduh bukan majikan asal dan bukan wakil majikan bagi sebuah syarikat.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(b)A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM18,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Amrick Singh Sandu memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan tertuduh mempunyai beberapa penyakit yang memerlukan kos rawatan dan masih menanggung seorang anak yang belajar di kolej.

Mahkamah kemudiannya memberikan jaminan RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 Jun depan sebagai sebutan semula kes. – Sinar Harian