IPOH, 20 Julai – Perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap kebenaran untuk mengadakan solat sunat Aidiladha di tempat terbuka, diraikan seluruh rakyat.

Menurut penduduk di Taman Meru Perdana 2 di sini, Ismail Tahir, 49, selain dapat menunaikan solat sunat Aidiladha ia juga secara tidak langsung dapat memberi ruang kepada penduduk setempat ‘bertentang mata’ dengan norma baharu.

Katanya walaupun Perak berada pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun larangan ziarah menziarahi ketika musim perayaan ini masih dikuatkuasa.

Justeru katanya dengan mengadakan solat sunat di tempat terbuka itu juga dapat dijadikan ruang mengeratkan silaturahim pada hari kebesaran kedua Umat Islam.

“Walaupun Perak berada dalam Fasa Kedua PPN, tetapi kelonggaran-kelonggaran terhadap aktiviti ziarah jiran tetangga atau sanak-saudara masih tidak dibenarkan.

“Jadi dengan adanya solat berjemaah dibenarkan di tempat terbuka seperti ini, ia secara tidak langsung akan memberi peluang jiran-jiran bertemu antara satu sama lain,” katanya.

Ismail merupakan antara 70 jemaah setempat yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan Laluan Meru Perdana 2, dekat sini pada Selasa.

Ia berlangsung sekitar 40 minit selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Pada 7 Julai lalu, Sultan Perak memberi perkenan kepada umat Islam di negeri ini untuk mengadakan solat sunat Aidiladha diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan-kawasan perumahan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff menyambut baik perkenan Sultan Perak tersebut.

Katanya dengan perkenan Baginda itu, lebih ramai umat Islam yang berpeluang mendirikan solat sunat Aidiladha, sekiranya mereka tidak berkesempatan mendirikannya di surau atau masjid atas faktor pematuhan SOP MAIPk.

Dalam pada itu, Imam Mohd Fariq Izwan Md Bahrin, 39, berkata kebenaran untuk mengadakan solat sunat Aidiladha di kawasan terbuka merupakan suatu perkembangan yang baik.

Ujarnya selain memberi ruang kepada ramai jemaah, ia juga dapat memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam mendengar khutbah sebagaimana dituntut dalam agama.

“Kalau dilihat di luar negara, mereka bukan sahaja mendirikan solat sunat Aidiladha atau Aidilfitri di surau dan masjid, bakhan dikerjakan di kawasan terbuka seperti padang.

“Ini kerana kita memang dituntut untuk mendengar khutbah yang disampaikan. Misalnya seorang wanita yang haid dilarang ke masjid.

“Namun mereka dibenarkan untuk mendengar khutbah. Dan ini lebih memudahkan lagi mereka apabila berpeluang mendengar khutbah di kawasan-kawasan lapang yang didirikan solat berjemaah,” katanya lagi.