PASIR SALAK, 6 Julai – Datuk Che Abdullah Mat Nawi memohon maaf sekiranya isu akad nikah secara dalam talian mengaitkan dirinya sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Sumber Makanan II merangkap Ahli Parlimen Tumpat itu walaubagaimanapun kesal atas penularan perkahwinannya itu kerana menyifatkan ia sebagai suatu yang peribadi.

Justeru kata beliau perbincangan dengan pihak peguam telah dibuat untuk meneliti tindakan perundangan yang boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba mengaibkannya melalui isu berkenaan.

“Saya dinasihatkan supaya tidak mengulas lanjut (isu berkenaan). Sudah viral tu viral lah, nak buat macam mana.

“Saya berasa amat kesal dengan isu ini di mana isu yang dihebohkan itu saya rasa semua boleh rasa bahawa ia bersifat sangat peribadi, yang melibatkan bukan sahaja saya , malah seluruh keluarga saya. Ia sepatutnya tidak berlaku (tular),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Seberang Perak, dekat sini pada Selasa.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand akan menjalankan siasatan berhubung isu majlis akad nikah secara dalam talian yang didakwa membabitkan seorang Timbalan Menteri di negara ini.

Perkahwinan dikatakan antara Che Abdullah dengan pengantin perempuan itu didakwa dilakukan pada 1 Jun sebelum ia tular di media sosial.

Gambar sijil perkahwinan pasangan itu serta perbincangan antara beliau dan imam dengan dua lelaki lain yang dipercayai saksi juga diedarkan secara meluas.

Pengantin perempuan terbabit dipercayai berasal dari Selangor dan menjadi isteri ketiga Timbalan Menteri itu.

Pada masa sama, Che Abdullah berharap agar semua pihak dapat memberikan ruang dan menghormati privasi keluarganya dalam menyelesaikan isu terbabit.

“Ia seolah-olah niat atau motif mahu memang mengaibkan atau menjatuhkan maruah saya sekeluarga atau mungkin untuk menggangu kerja-kerja saya yang diamanahkan sebagai Timbalan Menteri.

“Isu ini sewajarnya ditangani dengan peribadi, dan bukannya untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai. Jadi apa motif dipertontonkan kepada ramai,” ujar beliau.

Namun tegasnya isu yang tular itu tidak mengganggu beliau dalam menjalankan tugas baik sebagai Timbalan Menteri mahupun Ahli Parlimen.