IPOH, 13 Sept – Akademi bola sepak DrZ dijadual akan membuka dua cawangan baharu di Menglembu dan Ampang di sini pada penghujung Oktober depan.

Dalam satu kenyataan, Akademi DrZ memaklumkan ia merupakan cawangan ketiga dan keempat selepas mempunyai dua cawangan sebelum ini di Tambun dan Meru.

Katanya lokasi cawangan di Menglembu yang akan dibuka ialah di Padang awam Taman Impiana Adril sementara Padang Awaman Rapat Setia di cawangan Ampang.

Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini seramai 445 orang telah menyertai akademi yang ditubuhkan Muhammad Zool Hilmi Bin Md Aris pada September 2016 itu.

“Peserta akademi terdiri daripada lingkungan umur antara 5 ke 16 tahun yang mana matlamat utama kami adalah untuk melahirkan bakat baru sukan bola sepak yang berjaya dalam bidang sukan dan akademik.

“Bersempena dengan pembukaan dua cawangan baharu itu, kami mempelawa anak-anak atau ibu bapa yang mahu anak mereka menyertai Akademi DrZ.

“Sesi baharu akan bermula selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelak,” katanya di sini, pada Isnin.

Tambah kenyataan itu lagi sesi latihan akan berlangsung setiap hari Sabtu dan Ahad bermula jam 8 sehingga 10 pagi.

“Bagi yang berminat mereka boleh menghubungi talian 012-5228756 atau melawat laman Facebook DRZ Football Academy.

“Diharap usaha akademi ini dapat membantu Perak dalam program pembangunan akar umbi untuk melahirkan bakat-bakat baharu sebagai pelapis untuk kecemerlangan bola sepak negeri pada masa hadapan,” katanya lagi.