IPOH, 20 Mei – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata ia adakan dibuat sekiranya tiada sebarang perkembangan selepas laporan Polis dibuat terhadap Tommy, 69, pada Khamis.

Beliau berkata laporan itu dibuat selepas Bekas Peguam Negara itu didakwa ‘berbohong’ dalam afidavit bertarikh 11 Mei yang berkaitan perbicaraan kes rasuah projek solar membabitkan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Tommy telah berbohong dalam afidavit beliau apabila mengatakan Datuk Seri Gopal Sri Ram dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes solar secara lisan, menurut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah semasa Tommy menjadi Peguam Negara.

“Tommy mengatakan surat pelantikan atau fiat secara bertulis tidak diperlukan kerana pelantikan secara lisan sudah memadai yang mana sebelum ini pihak pendakwaan tidak pernah membangkitkan isu itu. Nampaknya (ia seolah-olah) Tommy telah membuat versi baharu berkenaan pelantikan Sri Ram dalam kes solar tersebut.

“Selain itu Tommy juga berbohong apabila mengatakan penggantinya, Tan Sri Idrus Harun telah mengesahkan autoriti lisan pelantikan Sri Ram sebagai TPR. (Sebaliknya) perkara ini tidak pernah disahkan dalam fiat bertarikh 8 Julai 2020,” katanya.

Justeru Hamidah mendakwa pembohongan oleh Tommy dalam afidavit itu berniat jahat dan menzalimi Rosmah selain ia didakwa sebagai satu cubaan untuk menipu orang ramai.

Beliau mendakwa Sri Ram tidak pernah mempunyai surat pelantikan semasa menjalankan pendakwaan ke atas Rosmah di mahkamah pada 15 November 2018.

“Surat perlantikan tersebut ditandatangani Tan Sri Idrus Harun dan bukanya Tommy . Selain itu ianya juga dikeluarkan adalah untuk pendakwaan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan kes solar. Tindakan Tommy dalam hal ini adalah suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Terdahulu Hamidah tampil ke Balai Polis Kampung Rapat bagi membuat laporan terhadap Tommy berhubung dakwaan berkenaan.

Kelmarin sebuah portal berita melaporkan Rosmah melalui pembantunya telah membuat laporan polis di Ibu Negara berhubung dua afidavit Tommy bertarikh 11 Mei yang berkaitan dengan usaha Rosmah membatalkan perbicaraan rasuah berkaitan projek solar.