Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan ke peringkat seterusnya bagi melaksanakan tindakan sekatan akaun bank kepada suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah.

Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbincangan bersama Bank Negara dan institusi bank di negara ini telah dibuat sebelum ini bagi merealisasikan perkara tersebut.

Menurut Mohd Na’im, ketika ini pihaknya sedang mempersiapkan pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BKS) dengan kemahiran yang betul supaya tidak melakukan kesilapan dalam membuat penguatkuasaan dan pelaksanaan berkaitan sekatan akaun tersebut.

“Pemerkasaan kemahiran perlu ada dalam kalangan pegawai ini agar usaha menyekat akaun suami yang culas akan dilaksanakan secara adil dan saksama.

“Kita akan pastikan pegawai di BKS yang bertanggungjawab menguatkuasa dan melaksanakan perintah nafkah ini untuk mendapatkan latihan yang secukupnya,” katanya.

Perasmian kolokium tersebut disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mewakili Menteri Besar Perak.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, langkah sekatan akaun itu dilaksanakan bagi memastikan isteri, bekas isteri serta anak tidak dizalimi oleh suami atau bapa yang culas ini.

Menurutnya, pelaksanaan tindakan itu merupakan salah satu prosiding hiwalah iaitu pemindahan hutang daripada Penghutang Penghakiman di bawah Akta atau Enakmen Tatacara Mal sedia ada.

“Dalam konteks ini, kita bukan sahaja membantu isteri mendapatkan nafkah, malah membantu suami yang culas untuk melaksanakan tanggungjawabnya supaya ia tidak berterusan melakukan kezaliman dengan tidak membayar nafkah.

“Sebelum ini, kita banyak menggunakan tatacara yang lain contohnya sita jual ataupun kita ada satu tatacara disebut saman penghutang kehakiman dan kita juga ada cara untuk tahan pendapatan termasuklah perintah komital suami yang culas kerana jelas ingkar perintah mahkamah, ada setengah dihantar ke penjara.

“Ini adalah cara-cara bagaimana perintah mahkamah itu dikuatkuasakan termasuk yang akan dilaksana iaitu sekatan akaun,” katanya.

Menurut Mohd Na’im, sejak tahun 2016 sebanyak 147 kes suami atau bekas suami culas membayar nafkah walaupun sudah mendapat perintah mahkamah.