IPOH, 19 Mac – Kerajaan telah bersetuju untuk meletakkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Ini bermakna, arahan selepas ini akan datang terus daripada ketua polis negara.

Menurut beliau, semua anggota yang diserapkan di bawah agensi ini akan menjadi tanggungjawab PDRM.

“Bukan lagi seperti yang kita lakukan sekarang ini, kita pinjam-pinjam, pinjam orang ni 100, agensi ini 50 dan akhirnya arahan itu tak dapat turun ke bawah.

“Apabila kita lakukan ini dan kabinet dah bersetuju, kita dah maklumkan kepada PDRM dan mereka akan susun semula anggota mana yang patut duduk bawah AKSEM,” katanya.

Beliau ditemui selepas program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurutnya, kawasan yang sesuai pula akan digunakan teknologi baharu yang canggih bagi mengurangkan masalah di sempadan negara.

Dalam masa sama, kata Hamzah, pintu masuk di sempadan juga akan ditetapkan bagi mengelakkan berlaku pencerobohan di masa akan datang.

Sebelum ini, keanggotaan AKSEM melibatkan lima agensi sedia ada iaitu PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.