GERIK, 17 Nov — Tegas, tapi penyayang. Itulah sikap Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Raub, Pahang semalam. 

Anak sulung kepada Ahli Parlimen Gerik itu, Mohd Haris Helmi, 34, berkata selain kelihatan garang, arwah ayahnya juga sebenarnya seorang yang kurang bercakap. 

“Ayah saya jenis yang tidak banyak bercakap, tapi dia sangat mengambil berat tentang keluarga, orang ramai. Dalam kumpulan WhatsApp keluarga pun beliau tidak banyak interaksi kecuali kalau benda penting. 

“Sikapnya itu memang ramai yang tahu, lebih-lebih lagi penduduk Gerik, tapi dalam masa sama kalau sesiapa ada masalah memang arwah ayah akan usaha untuk tolong,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah Allahyarham di Kampung Ulu Kenderong di sini hari ini. 

Hasbullah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggal dunia kira-kira 7 malam tadi di Hospital Raub, meninggalkan dua balu iaitu Datin Rosmawati Ariffin, 58, dan Zaini Abu Bakar, 29, serta lapan anak berumur antara dua bulan dan 34 tahun.

Mohd Haris yang berniaga sendiri di sini, berkata beliau pada mulanya tidak percaya kejadian yang menimpa ayahnya semalam apabila menerima banyak mesej menerusi WhatsApp kerana sepanjang pengetahuannya arwah tidak mempunyai sejarah masalah jantung. 

“Sehinggalah beberapa orang terdekat maklumkan dah sahkan ayah telah tiada barulah saya percaya. Setahu saya ayah cuma ada masalah darah tinggi, tak tahu macam mana kena serangan jantung, mungkin terlalu penat,” katanya. 

Sementara itu, adik Allahyarham, Zubaidah, 52, turut mengakui arwah abangnya seorang yang tegas dan kurang bercakap tetapi penyayang dan bertanggungjawab. 

Katanya selepas kakak sulung mereka daripada tujuh beradik meninggal dunia, Allahyarham  mengambil peranan sebagai anak sulung dan memastikan keperluan adik-beradik sentiasa terpelihara. 

“Rasa sangat ralat sebab bulan lepas kali terakhir jumpa arwah di sini tapi tidak bersembang kerana fikirkan nanti-nantilah. Selepas ayah meninggal pada 2014 dan mak pada 2018, arwah serahkan semua peninggalan orang tua kepada adik-beradik lain,” katanya. 

Bagi bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kehilangan Allahyarham Hasbullah pastinya dirasai oleh penduduk kawasan Parlimen Gerik Kerana arwah seorang yang berdedikasi. 

“Perkhidmatan kepada rakyat bukan hanya di kawasan Gerik tapi seluruh negeri Perak dan negara. Kali terakhir jumpa arwah minggu lepas dan beliau ceria, tidak menunjukan sebarang perubahan seperti hendak meninggalkan kita,” katanya. 

Allahyarham Hasbullah yang dilahirkan di Hospital Gerik pada 17 Feb 1957 memulakan kerjaya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah di sini sejurus selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (M4P) pada 1979.

Bermula 1986 hingga 1999, Kementerian Pelajaran pada ketika itu telah meminjamkan Allahyarham untuk berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada empat timbalan menteri hingga beliau bersara pada November 1999.

Allahyarham juga pernah menjadi setiausaha politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2009.

Allahyarham Hasbullah mula menjadi Ahli Parlimen Gerik yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Temenggor dan Pengkalan Hulu, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hingga sekarang.  Beliau sebelum itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor selama dua penggal bermula PRU11. 

Jenazah yang tiba di sini dari Raub kira-kira  5.30 pagi tadi akan disembahyangkan di Masjid Jamek Gerik sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang di sini sebelum solat zuhur. 

— BERNAMA