IPOH – Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria, 82, yang meninggal dunia semalam akibat Covid-19 tidak sempat menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 yang sepatutnya diterima pada Khamis lalu.

Allahyarham sepatutnya melengkapkan dua dos suntikan itu bersama isteri, Puan Seri Ainon Abdul Ghani, 81.

Anak bongsu Allahyarham, Datuk Ahmad Wafi, 44, memberitahu, keadaan kesihatan bapanya yang merosot dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menyebabkan suntikan berkenaan tidak dapat diberi.

“Seminggu sebelum raya, abah dan mak sudah terima suntikan dos pertama vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HRPB.

“Sepatutnya dos kedua pada 27 Mei lalu, tetapi abah di ICU dan mak pula dalam fasa pemulihan. Bagi dos kedua, mak belum dapat lagi tarikh baharu untuk suntikan,” katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini.

Menurut Ahmad Wafi, bapa dan ibunya disahkan dijangkiti Covid-19 pada 11 Mei lalu dan dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut pada hari sama.

Katanya, semasa awal rawatan, Allahyarham bapanya dalam keadaan sihat meskipun menghidap strok dan pelbagai penyakit lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan jantung.

“Abah tidak dipasangkan alat bantuan pernafasan selain banyak berehat serta dalam keadaan sedar. Kakak yang bekerja sebagai doktor di HRPB akan maklumkan keadaan terkini abah dan mak.

“Bagaimanapun, keadaan kesihatan abah semakin hari semakin merosot. Hari mak dibenarkan keluar wad seminggu selepas raya, abah dimasukkan pula ke ICU. Mak mulanya tidak tahu, dia ingatkan pindah ke wad biasa,” katanya. – K! ONLINE