IPOH, 2 Mac – Pemain hoki kebangsaan, Arif Sabron terpilih untuk mewakili Kelab Hoki Butterfly Roma, Italy mulai 15 Mac hingga 15 Jun 2021.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, usaha membawa Arif, 22, anak kelahiran Felda Gunung Besout, Perak untuk bermain dengan kelab yang beraksi dalam liga utama di Itali – Serie A itu adalah dengan kerjasama Hockademy.

Menurutnya, kerajaan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak menyalurkan bantuan tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur – Rome di samping wang tunai RM2,000.

“Diharapkan kejayaan ini akan menjadi penyuntik semangat untuk lebih ramai atlet Perak, termasuk sukan angkat berat, menembak dan olahraga menimba pengalaman di Eropah,” katanya dalam sidang media di MSN Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharuddin yang juga pemilik Hockademy dan Pengarah MSN Perak, Johari Sham Ahmad Shohor Affendi.

Khairul Shahril berkata, peluang bermain di Butterfly Roma memberi kelebihan kepada pasukan hoki Sukan Malaysia (Sukma) Perak kerana Arif, yang turut membantu pasukan TNB menjuari Tun Abdul Razak Cup tahun lalu, juga akan menyarung jersi Perak untuk Sukma 2022.

Sementara itu, Megat D Shahriman berkata, pihaknya komited untuk membantu menggilap bakat muda dengan memberi pendedahan mereka beraksi di luar negara.

Bagi Arif pula, peluang beraksi dengan kelab Eropah itu akan diguna sebaik mungkin untuk menimba pengalaman, sekaligus meningkatkan mutu permainannya.

“Saya sedar, jika dibanding dari segi saiz fizikal, pemain Eropah jauh lebih besar tetapi yang penting, saya perlu kuatkan semangat dan mental.

“Walaupun saiz mereka lebih besar, saya bersedia untuk ‘melanggar’ sesiapa sahaja,” katanya penuh semangat.