MUAR, 17 OKT : Seorang anggota polis maut selepas dipercayai menembak diri sendiri dalam kejadian di Jalan Abdullah, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan laporan awal, polis menerima maklumat seorang anggota polis ingin membunuh diri.

Sehubungan itu, satu operasi mengesan anggota berkenaan dijalankan sebelum mangsa ditemui mati dalam kenderaannya dengan kesan tembakan di leher kira-kira jam 11.18 pagi tadi.

“Pada 8.20 pagi pihak polis daerah Muar ada menerima satu maklumat berkaitan seorang anggota polis ingin membunuh diri melalui pesanan ‘WhatsApp’.

“Bertindak atas maklumat tersebut, satu operasi dijalankan dan anggota berkenaan ditemui mati dalam kenderaanya di lot parkir di pekan Muar dengan kesan tembakan di leher,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver 38 bersama mayat mangsa.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kes 

berkenaan sedang dijalankan. – AWANI