GERIK: Seorang anggota tentera maut manakala isterinya cedera selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 17, Jalan Raya Timur Barat Fasa II, Gerik – Kupang, dekat sini, pagi ini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Azizi Ahmad, 25 dari dan isterinya Nur Kamaliah Md Nor, 24.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifi Mahmood berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa dan isteri dalam perjalanan dari arah Kulim ke Gerik.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, kereta Proton Saga yang dinaiki pasangan suami isteri itu dikatakan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari Terengganu ke Kulim.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala isterinya yang patah bahu mendapat rawatan awal di Hospital Gerik sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping,” katanya dalam satu kenyataan.

Zulkifi berkata, pemandu lori berumur 35 tahun dan kalendan yang juga abangnya berumur 37 tahun tidak mengalami kecedaraan.

Punca Kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 5.08 pagi.

Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.