MANJUNG, 5 Mei – Angin ribut yang melanda sekitar kawasan Pantai Remis, dekat sini malam tadi menyebabkan lebih 30 pokok tumbang, termasuk tujuh yang menimpa rumah penduduk.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8 malam.

Menurut jurucakap JBPM Perak, antara kawasan yang terlibat ialah Jalan Gunung Tunggal, Lubuk Pusing, Tebuk Yan 2, Taman Pelangi, Kampung Indah, Batu 14 Segari, Sungai Batu, Jalan Haji Ali, Taman Bintang, Jalan Pengkalan Bharu, Batu 17, Kampung Tanjung Ara, Taman Desa Pantai, Kampung Cina dan Jalan Konchong Pelantar.

Katanya, tujuh kejadian pokok tumbang terkena rumah penduduk berlaku di Kampung Indah, Jalan Haji Ali, Kampung Bumi Hijau, Tanjung Ara Dalam, Sungai Batu dan belakang pejabat pos.

“Pihak bomba bersama anggota Majlis Perbandaran Manjung, Tenaga Nasional Berhad dan Bomba Sukarela Pantai Remis bekerjasama memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata jurucakap itu, kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Akmal Hussin tamat pada 4.32 pagi.