KUALA LUMPUR, 20 JAN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa majoriti ahli Parlimen sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi meminta perkenan baginda menggugurkan pengisytiharan darurat.

Jelasnya, warkah itu bukan untuk membantah sebaliknya merayu ihsan serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengkaji semula alasan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

“Ya benar, sekarang ini ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong itu sudah mencecah lebih dari majoriti… bukan membantah, (tetapi) merayu ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menimbang, melihat semula dan mengkaji alasan dibawa oleh Perdana Menteri (yang) tidak munasabah dan tidak cukup kuat.

“Jadi mohon Yang di-Pertuan Agong menimbang dan kita terima keputusan kebijaksanaan Tuanku. Surat kepada Yang di-Pertuan Agong telah dihantar semalam (Selasa)” katanya dalam sidang media menerusi Facebook rasminya pada Rabu.

Tambah Anwar, tidak timbul soal ahli Parlimen menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya warkah itu bagi menyampaikan hujah ahli Parlimen mengenai pengisytiharan darurat yang dikuatkuasakan ketika ini.

“Dulu saya tahu ada parti politik yang membangkang… terang-terang menyerang kerajaan ketika pengisytiharan darurat di Kelantan… boleh pula.

“Ada hukum membolehkan… ini kita (pembangkang) tidak menyerang, kita memohon ihsan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong.

“Timbul suara-suara kononnya derhaka, termasuk orang yang benar-benar berucap dirinya paling derhaka, saya tidak mahu ulas secara spesifik di sini.

“Cuma saya nak kata, fakta kita lakukan apa… surat kita itu merujuk kepada pengisytiharan darurat… saya tegaskan semula, memohon ihsan kebijaksanaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, melihat hujah-hujah yang kami kemukakan kalau diperkenankan untuk menimbang,” jelas Anwar lagi. – AWANI