Oleh : AIDA AZIZ
Gambar : AMIRUL SHAUFIQ

IPOH pernah mendapat jolokan bandar jutawan ketika zaman kemuncak perusahaan bijih timah dan perladangan getah sekitar tahun 1910.

Perkara itu sekaligus mengiktiraf bandar tersebut sebagai ibu negeri Perak, yang sebelum itu sinonim dengan Taiping.

Mungkin ramai yang beranggapan bandar raya yang terkenal dengan ayat “Ipoh Mali Talak Sombong” ini dipelopori oleh masyarakat Cina.

Namun fakta sejarah membuktikan sebaliknya, perkembangan pekan Ipoh sememangnya dipengaruhi oleh keturunan Dato’ Panglima Kinta.

Isu mengenai bangunan, sekolah dan rumah warisan Melayu di sekitar Ipoh yang dirobohkan serta tidak diselenggara dengan baik sudah berlarutan sekian lama.

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee antara individu yang kerap kali membangkitkan isu itu tanpa jemu, malah dia turut mengakui ada beberapa kekangan yang membantutkan usaha memulihara bangunan warisan Melayu.

“Isu pemilikan tanah menyukarkan keadaan, sebagai wakil NGO dan persatuan kita hanya boleh beri pendapat dan cadangan. Namun untuk pulihara semula bangunan-bangunan ini tidak semudah disangka.

“Jalan terbaik ialah dengan mengambil contoh idea seperti yang dilakukan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Ada satu agensi yang ambil alih dan uruskan kawasan terbabit, sektor swasta khususnya hartawan Melayu perlu terlibat sama untuk merealisasikan idea itu

Sebenarnya perkara ini memerlukan kerjasama ramai pihak dan tidak perlu harap kerajaan semata-mata,” katanya kepada Suara Perak.

Perkembangan Ipoh dan Masyarakat Melayu (sub)

Sementara itu, Presiden Persatuan Keluarga Panglima Kinta, Fazil Shuhaimi Talib turut menguatkan hujah mengenai perkembangan Ipoh ada hubungkait dengan masyarakat Melayu.

“Kampung Paloh, Changkat Saga dan Kuchai antara penempatan Melayu terawal, pada zaman dahulu kawasan ini pernah menempatkan kilang melebur timah dari bijih Melayu yang diperoeh dari lombong berdekatan.

“Pada zaman kolonial, Kampung Paloh dan Kampung Kuchai merupakan penempatan orang Melayu dan dikenai sebagai ‘Malay Settlement’ seterusnya digelar ‘The Wealthy Malay Enclave of Ipoh’.

“Ia kerana raja dan pembesar tertumpu di sini dan menjadi pusat kegiatan utama masyarakat Melayu, deretan rumah kedai wakaf Toh Puan Saripah di Jalan Datoh ada warisan semangat kebangsaan Melayu awal Perak,” kata Fazil.

Jangan Anaktirikan Bangunan Warisan Melayu

Ujar Nor Hisham, lebih mengecewakan baginya apabila melihat sendiri satu demi satu bangunan warisan musnah dan roboh tanpa pembelaan.

“Kita lihat bukan sahaja di Ipoh tetapi di negara kita kebanyakannya mempromosikan sejarah tinggalan British. Bukan kita tidak suka dengan warisan Kolonial tetapi seolah-olah warisan Melayu dianaktirikan.

“Selain daripada masalah pemilik, NGO sendiri tidak ada satu kesefahaman untuk bantu dan selamatkan warisan ini, khususnya NGO masyarakat Melayu ini masing-masing bergerak ikut haluan sendiri

“Masyarakat sekarang tidak tahu ada banyak kampung di Ipoh, malah ada fakta yang kurang tepat dipaparkan di Pusat Penerangan Pelancongan di sini mengenai pekan baru Ipoh,” katanya.

Pencinta sejarah itu turut membawa Suara Perak ke beberapa lokasi bangunan yang terbiar dan hampir roboh, antaranya di rumah Dato’ Seri Adika Raja, Jalan Datoh, Sekolah Melayu Perempuan Ipoh serta rumah di Kampung Kuchai.

Ternyata bangunan itu hanya menunggu masa untuk rebah ke tanah, ada juga yang dijadikan tempat berteduh untuk gelandangan pada waktu malam.

Usaha Nor Hisham dan rakan-rakan seperjuangan dalam persatuan selama ini adalah dengan meuar-uarkan warisan Melayu yang semakin dipinggirkan kepada umum.

“Kami berkongsi cerita di media sosial tentang warisan bukan sahaja di Perak tetapi juga seluruh Malaysia. Bagaimanapun kami tiada kuasa untuk menjalankan kerja baikpulih dan sebagainya.

“Itu di luar bidang kami sebagai NGO, ianya turut bergantung kepada pemilik bangunan tersebut. Apa yang kami tekankan ialah dengan menyalurkan maklumat berkenaan warisan yang ada pada satu-satu lokasi.

“Mungkin kadangkala pemilik fikir usaha kami ini adalah untuk mengambil alih bangunan mereka, tetapi kami berjuang untuk memberi kesedaran tentang pentingnya memulihara khazanah itu,” katanya.