IPOH, 9 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum membuat laporan polis berhubung rakaman audio perbualan telefon yang tular.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sehingga semalam, tiada sebarang laporan polis diterima daripada pegawai kedua-dua pemimpin parti politik itu seperti mana yang dimaklumkan menerusi media.

Menurutnya, jika laporan tersebut dibuat, pihak polis akan menjalankan siasatan seperti mana yang dijelaskan sebelum ini.

“Kalau Zahid kata dia tak ada buat ‘conversation’ itu, dia patut yakin dan dia buat laporan polis (tetapi) sampai semalam tak ada, dia tak buat pun laporan polis.

“Begitu juga Anwar, kalau dia yakin bukan dia yang bersuara, dia buat laporan polislah dan saya nak bagi tahu melakukan laporan polis dan laporan itu palsu adalah melakukan satu kesalahan.

“Jadi kalau dia rasa dia tak melakukan kesalahan, apa nak takut, buatlah laporan polis. Dia kata pegawai nak buat laporan polis, pegawai dia pun tak buat lagi, yang buat orang lain tapi pegawai dia tak ada,” katanya ketika ditemui selepas Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun dekat sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebelum ini, tular penyebaran audio perbualan berdurasi empat minit 17 saat dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar Ibrahim, sejak selasa.

Rakaman perbualan itu menjurus pada rumusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada akhir bulan lalu.

Ahmad Zahid dan Anwar kemudiannya menafikan terlibat dalam audio yang tular itu.