KUALA LUMPUR, 15 SEPT : Datuk Seri Azalina Othman Said ‘mengejutkan’ ahli Dewan Rakyat selepas muncul semula di kerusi speaker bagi mempengerusikan sesi petang Sidang Parlimen, di sini hari ini.

Kemunculan Ahli Parlimen Pengerang itu dilihat menimbulkan beberapa reaksi daripada ahli Parlimen, termasuk ada yang mengucapkan ‘selamat kembali bertugas’.

Bagaimanapun, Azalina menjelaskan beliau hanya diminta untuk mempengerusikan persidangan buat sementara waktu.

“Ini macam ‘mutaah‘, sekejap saja. Mungkin hari Isnin atau Selasa, orang lain,” jawab Azalina sambil berseloroh.

“Saya telah diminta oleh Yang di-Pertua di bawah Peraturan Mesyuarat 7(3), diminta untuk mempengerusikan mesyuarat sementara waktu,” kata beliau di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3) menyatkan pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Tuan Yang di-Pertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu bagi sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dengan secaranya dan ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Tuan Yang di-Pertua sehingga Tuan Yang di-Pertua balik semula mengetuakan mesyuarat. – AWANI