KUALA LUMPUR: PKR hari ini memecat keahlian Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin berkuatkuasa serta-merta.

Majlis pimpinan pusat parti itu mencapai keputusan itu “sebulat suara” dalam mesyuarat khas yang bersidang hari ini.

Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata mesyuarat khas hari ini membincangkan peristiwa yang berlaku di sebuah hotel semalam.

“Telah berlaku satu pengkhianatan terbuka oleh beberapa watak dalang utama yang jelas bercanggah dengan pendirian parti dalam perkara berkenaan kedudukan perdana menteri.

“Akibat pengkhianatan terbuka, ianya menyebabkan keadaan yang boleh menjejaskan kerajaan Pakatan Harapan.

“Majlis pimpinan pusat atas keputusan secara sebulat suara mengambil ketetapan Azmin dan Zuraida terpecat atau dipecat sebagai ahli berkuatkuasa serta-merta,” katanya pada sidang media hari ini.