TELUK INTAN, 4 Mei – Pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Chikus, Langkap, dekat sini, yang menempatkan 40 mangsa banjir, ditutup sepenuhnya, hari ini.

Pegawai Daerah Hilir Perak, Saidi Shaari berkata, penutupan itu dibuat setelah mendapat nasihat dan meneliti keadaan banjir yang telah beransur baik.

Tambahan pula, katanya, semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, penghulu, individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang bertungkus-lumus terlibat membantu dan menyelaras selia PPS dengan terbaik sepanjang ia beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan.

PPS Dewan Chikus dibuka pada Ahad bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga kawasan, iaitu Parit 3 serta Kampung Batu Pecah di Chikus dan Kampung Belakang Kedai, Degong.

Mulanya ia menempatkan 24 mangsa banjir ketika sebelum meningkat kepada 40 orang.